Nuffnang Ads

Friday, November 4, 2011

Belajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia pada 2016


   PUTRAJAYA  — Pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Rendah akan dilaksanakan sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia pada tahun 2016 dan untuk Sekolah Menengah pada 2021, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat Kabinet hari ini turut memutuskan untuk membenarkan murid sekolah rendah yang sedang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)  dalam bahasa Malaysia sepenuhnya atau dalam kedua-dua bahasa untuk meneruskannya sehingga ke Tingkatan Lima.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran membuat pengumuman itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini pada Jumaat (4 November).

Semalam, Muhyiddin memaklumkan bahawa beliau akan membuat penjelasan terperinci mengenai bagaimana kedudukan PPSMI dan bagaimana Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI)  akan dilaksanakan, khususnya yang berkaitan peralihan berikutan keputusan kerajaan untuk memansuhkan PPSMI.

Kabinet pada 2009 sudah membuat keputusan yang PPSMI tidak akan diteruskan.

Muhyiddin berkata, kerajaan yakin dengan keputusan itu, pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan terjejas.

Dengan pemansuhan PPSMI kelak, beliau berkata murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Cina dan bahasa Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah kementerian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia.

Beliau berkata, kajian menunjukkan kurang lima peratus daripada jumlah kelas di 7,495 buah sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains.

"Manakala di peringkat sekolah menengah, kurang sembilan peratus daripada jumlah kelas di 2,192 buah sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains.

 “Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sepertimana yang dihasratkan,” katanya.

Menurutnya, hasil kajian lapangan yang dijalankan kementerian menunjukkan  pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temu bual dengan murid-murid mendapati murid sukar memahami mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.

"Pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris,” katanya.

Untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid, Muhyiddin berkata, pelbagai inisiatif baru dan lebih efektif sedang dilaksanakan di bawah  Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Antara inisiatif itu, katanya ialah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum Bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan daripada segi penyediaan guru.

Inisiatif lain termasuk pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, katanya.

No comments:

Post a Comment