APABILA saman seorang warga Finland ditolak oleh Mahkamah Tinggi atas beberapa alasan termasuk perkataan yang dinyatakan oleh plaintif didapati tiada satu pun perkataan yang daring (amat berani) yang boleh merendahkan reputasi Jarva.
Begitu juga menurut Hakim Datuk Lau Bee Lan, artikel tersebut hanya hanyalah menyentuh mengenai siasatan pihak polis dan suspek-suspek yang ditahan dalam kes terbabit serta kapsyen gambar hanya merujuk bahawa dia merupakan antara suspek dalam kes pembunuhan Noritta dan bukannya pembunuh mangsa.
Hakim turut menegaskan bahawa dalam aspek penyiaran gambar plaintif, perlindungan hak peribadi tidak lagi wujud kerana dia telah dibawa ke mahkamah dan perintah reman telah dikeluarkan.
Sesungguhnya keputusan hakim itu memberikan satu dimensi baru dalam aspek laporan dan penyiaran media mengenai tahanan reman yang dilakukan oleh pihak polis bagi membantu siasatan sesuatu kes.
Tanpa mahu mencampuri perbicaraan dan keputusan mahkamah itu yang mungkin akan berlanjutan ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, saya berpendapat wujud keterbukaan pelaporan yang boleh dilakukan oleh media tanpa perlu lagi bimbang untuk menutup wajah mereka daripada dikenali umum.
Sebagai penyampai berita, adalah menjadi tanggungjawab media elektronik atau media cetak untuk membuat laporan terus secara telus dan jelas mengenai sesuatu kejadian yang berlaku. Apa lagi kejadian itu suatu yang menggemparkan dan menarik perhatian orang ramai.
Cuma apa yang penting ialah media terus memegang dan menggalas tanggungjawab untuk menjaga etika pelaporan mereka agar tidak terlalu sensasi atau bersifat menghukum sehinggalah sesuatu kes itu dibicarakan dan diputuskan oleh mahkamah. Ringkasnya, berita bersifat melapor akan membuat laporan, bukan kesimpulan.
No comments:
Post a Comment