KENYATAAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Utusan Malaysia pada Khamis, 2 Disember 2010 mengenai terdapat amaran awal bahawa negara akan mengalami gelembung aset berikutan banyak bangunan dan rumah-rumah yang tidak dibeli atau disewa sekitar Kuala Lumpur amat menarik perhatian.
Kita perhatikan sejak akhir-akhir ini, pemaju projek pembangunan pejabat atau rumah lebih mengutamakan projek mewah dengan nilai bukan lagi bertaraf jutaan ringgit tetapi berbilion-bilion menyebabkan golongan 'biasa' atau golongan kelas pertengahan hari ini tersepit.
Mereka ini dengan pendapatan atau gaji sekitar RM3,000 hingga RM5,000 tidak mungkin mampu memiliki rumah kediaman bernilai RM800,000 ke atas yang semakin menjadi tumpuan pemaju perumahan. Malah dalam kebanyakan kes, pemaju perumahan berlumba-lumba membina projek perumahan eksklusif pada harga serendah RM1.2 juta.
Berbanding dengan golongan berpendapatan rendah yang 'diselamatkan' oleh kerajaan melalui pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR), mereka kelihatan lebih mudah menjalani kehidupan di bandar-bandar besar terutama di Kuala Lumpur ini.
Begitu juga dengan ruang atau tapak perniagaan di gedung-gedung baru yang tumbuh bagai cendawan di di segala sudut tanah yang ada di ibu negara sekarang ini yang setiap kaki persegi bernilai ratusan ringgit yang pada pandangan biasa tidak mungkin mampu dimiliki oleh individu atau syarikat kelas pertengahan kecuali syarikat-syarikat multinasional atau syarikat milik individu yang sudah bergelar jutawan.
Apa yang mungkin terdaya ialah dengan memiliki kios-kios kecil di pasar raya besar atau menjadi usahawan kecil sebagai membekal barangan yang sememangnya dipenuhi dengan pelbagai syarat yang ketat dan rumit.
Sebab itu, kita melihat keupayaan golongan kelas pertengahan yang merupakan majoriti penduduk di Kuala Lumpur semakin tertekan. Mereka ini jauh daripada bantuan kerajaan seperti yang diperolehi oleh golongan berpendapatan rendah atau miskin tetapi untuk berhadapan dengan cabaran dalam aspek pemilikan bangunan dan rumah mewah tidak mungkin tercapai oleh mereka. Jurang yang ada semakin hari semakin jauh.
Mungkin dengan apa yang disuarakan oleh Tun Dr. Mahathir itu, kerajaan perlu melaksanakan dasar ruang kedai atau pejabat mampu milik dengan menggunakan tekanan kuasa politik bagi meletakkan syarat-syarat setiap pembinaan bangunan perniagaan baru perlu ada ruang bagi golongan pertengahan memilikinya.
Dengan itu, tidaklah berlaku yang kaya akan menjadi bertambah kaya sementara bagi golongan yang baru mahu bertapak dalam dunia perniagaan akan terus ketinggalan dan akhirnya menjadi golongan terpinggir di ibu kota sendiri.
Senario ini semakin terserlah pada masa ini kerana jika mahu membeli rumah-rumah teres pada kelas pertengahan iaitu harga sekitar RM200,000 hingga RM300,000 yang ada cuma di kawasan jauh dari pusat bandar Kuala Lumpur sama ada di Rawang, Banting, Semenyih atau Kuala Selangor. Jangan dimimpi untuk membeli hartanah di bawah nilai RM200,000 di kawasan-kawasan sekitar Kuala Lumpur hari ini.
No comments:
Post a Comment