JAKIM DAN NGO LANCAR KEMPEN JERAT VALENTINE"S DAY SABTU INI
PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan turun padang bersama kira-kira 250 sukarelawan dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menjayakan Kempen Jerat Valentine Day di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Bukit Bintang dan Masjid India, Sabtu ini (2 Februari).
Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, program itu bertujuan mendedahkan sukarelawan kepada aktiviti bersemuka dengan masyarakat dalam membina kesedaran bagi membanteras gejala sosial.
Menurutnya cara ini dapat membina keyakinan, keberanian, daya bertindak serta kesepaduan gerak kerja kalangan sukarelawan, membanteras gejala sosial di samping membina kemahiran berkomunikasi dan interaksi mereka dengan kumpulan sasar.
Dalam satu kenyataan beliau berkata, muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 2005 memutuskan bahawa roh perayaan Valentine"s Day mempunyai unsur Kristian, dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Katanya, menjelang hari yang disebut Velentine"s Day, pastinya gejala maksiat dan zina menjadi-jadi terutama di kalangan remaja dan belia sekitar pusat bandar raya.
"Banyak usaha digerakkan pelbagai pihak (bagi membanterasnya), namun masih memerlukan komitmen bersepadu semua pihak supaya membuahkan hasil yang benar-benar memberi kesan kepada perubahan dalam masyarakat, khususnya golongan remaja dan belia," katanya.
Othman berkata pelbagai bentuk aktiviti program akan dilaksanakan di majlis itu seperti sesi pertemuan dengan kelompok remaja, pengusaha hotel, agihan risalah kempen, sesi kaunseling serta khidmat nasihat dan taklimat menerusi pendekatan dakwah.
Beliau berkata antara NGO terlibat ialah Persatuan Ulama Malaysia Wilayah Persekutuan, Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia, Sekretariat Pemuda Masjid, Jemaah Islah Malaysia, IKRAM dan Nisa" Wilayah, yang akan menyasarkan golongan remaja Islam, ibu bapa dan masyarakat sekitar untuk memberi kesedaran peri pentingnya tidak merayakan Valentine"s Day.
"Kempen kesedaran ini akan diteruskan lagi dengan pelancaran kempen Mahasiswa Menolak Valentine"s Day di Universiti Sains Islam Malaysia pada 3 Feb ini," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment