Suatu yang menarik pada pameran kali ini ialah kehadiran pahlawan Melaka yang begitu gah menjadi bualan dan cerita datuk nenek kita dahulu iaitu pendekar lima bersaudara Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir dan Hang Kasturi di pameran tersebut.
Kunjungan lima pendekar yang penuh dengan kontroversi baik dalam aspek ketangkasan berpencak silat atau dalam aspek pencintaan, kesetiaan, amarah dan persahabatan itu ternyata menewaskan perhatian terhadap kehebatan replika kereta Batman yang tayarnya sudah diubah suai kerana kilang sudah tutup.
Proton Tuah |
Proton Jebat |
Proton Lekir |
Proton Lekiu |
Proton Kasturi |
Apa pun, syabas kepada Proton Holding Berhad dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) yang menampilkan inovasi kereta-kereta tempatan walaupun dalam bentuk hibrid kerana rakyat begitu teruja untuk melihat keupayaan ciptaan kereta nasional bersaing dengan kereta buatan luar negara.
Malah jika ada dijual di pasaran, saya yakin ramai yang akan menempah dan membelinya kerana rekaan kita juga setanding dengan rekaan kenderaan buatan luar negara yang lebih bercirikan cita ras masa depan.
Namun begitu, kita amat berharap, pendekar lima bersaudara milik Proton itu tidak gah pada nama sahaja dan tidak diingati dengan hikayat yang penuh dengan kontroversi apabila Hang Jebat bertindak menderhaka kepada raja di atas ketidakadilan kepada Hang Tuah manakala Hang Tuah pula menjadi seorang lurus bendul dengan menjunjung semangat taat setia secara membuta-tuli.
Apa yang kita mahu ialah semangat perjuangan, keberanian dan kebijaksanaan pendekar lima bersaudara itu digunakan dalam menempuh cabaran dunia automotif agar dapat mengatasi pengeluar kenderaan negara-negara maju yang sememangnya terlalu jauh berpengalaman serta mempunyai kekuatan modal dan pasaran yang besar.
Kita sebenarnya boleh melakukan yang lebih baik dan seluruh rakyat perlu memberikan sokongan bagi memastikan industri automotif negara berada sama tinggi dengan pengeluar kereta dunia.
No comments:
Post a Comment