Nuffnang Ads

Wednesday, September 26, 2012

Tidak perlu makanan tambahan - pakar

MAKANAN tambahan adalah tidak digalakkan terutamanya bagi kanak-kanak, kata Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (PPM), Dr Tee E Siong.

Beliau yang merupakan pakar perunding pemakanan nutrisi berkata, tiada bukti yang menyatakan bahawa tubuh kanak-kanak memerlukan lebih nutrisi daripada makanan tambahan, ia sudah cukup dengan menyediakan nutrisi pemakanan yang seimbang. 

"Ibu bapa tidak sedar dengan memberi makanan tambahan secara berlebihan boleh menyebabkan toksik berkumpul di dalam hati,” katanya ketika ditemui selepas seminar mengenai pengambilan makanan untuk kanak-kanak di sini hari ini.


Katanya, kebanyakan ibu bapa masih keliru dengan keperluan tubuh badan anak-anak hingga beranggapan bahawa dengan memberi makanan tambahan boleh membuatkan anak mereka lebih cergas dan cerdas. 


Seminar tersebut adalah bagi membincangkan hasil kajian mengenai pemakanan kanak-kanak oleh para penyelidik dari Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Danone Dumex (Malaysia) Sdn Bhd. 

Menurut Dr Tee, tidak salah memberikan makanan tambahan kepada anak-anak tetapi adalah tidak betul apabila ibu bapa menganggap makanan tambahan bagus untuk menggantikan sarapan dan makan tengah hari anak mereka. 


"Ia adalah satu tabiat yang tidak baik untuk tumbesaran kanak-kanak, dan jika mereka boleh berlari dengan cergas, mengapa perlu mereka diberikan makanan tambahan,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment